Monday, March 19, 2007

Makan-makan





Makan-makan


Melaka terkenal dengan masakan yang pastinya akan membuka selera seperti makanan Melayu, Hidangan Cina, India, Baba dan Nyonya serta Portugis yang menjadi kebanggaan negeri ini. Begitulah istimewanya Melaka. Pelancong tidak perlu risau mencari makanan yang dapat memenuhi citarasa kerana terdapat pelbagai jenis restoran yang berwarna-warni, gerai-gerai di sepanjang jalan dan juga kedai kopi. Kebanyakan restoran yang terbuka akan menjadi pilihan pelancong untuk menjamu selera.


Makanan Nyonya

Sekiranya anda tiba di Melaka, masakan Nyonya akan membuatkan anda berselera sekali. Ia merupakan gabungan makanan Cina tetapi menggunakan rempah ratus masyarakat India dan herba-herba yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu. Rasailah sendiri, barulah anda tahu kehebatannya. Antara hidangan yang boleh dicuba ialah otak-otak (isi ikan), sup itik, laksa lemak (mi dan udang bersama kuah laksa bersantan), jantung pisang, mi siam dan nasi kunyit.. Sebagai pembuka selera, anda boleh mencuba sagu Melaka (sagu biji bersama air gula) dan kuih koci (tepung pulut berinti kelapa parut).

Makanan Portugis

Masyarakat Portugis menggunakan gabungan rempah ratus dalam makanan mereka. Sebagai penambah perisa, jus lemon, asam jawa dan buah masam digunakan untuk memberi rasa yang sungguh nikmat dalam makanan. Di antara hidangan yang popular ialah Devil's Curry (kari yang kaya dengan 12 perasa bersama isi ayam atau daging), Garing-garing (snek lazat yang diperbuat daripada ikan dan disaji bersama sayuran yang dimakan mentah) dan Ikan Bakar Portugis (ikan yang dibakar dan dibalut dengan daun pisang).

Makanan Cina

Bagi masyarakat Cina, perbezaan cara masakan mengikut kumpulan seperti kantonis, hakka, hainan, hainan, szechuan dan hokkien membolehkan kita memilih makanan yang digemari. Masakan Cina juga pedas sedikit kerana ianya menggabungkan citarasa pelbagai etnik Cina. Di antara hidangan yang digemari ialah Char Kway Teow (mi yang diperbuat dari hasil beras, telur dan sayur taugeh), Mi Wantan, Mi Udang dan Dim Sum.

Makanan India


Makanan India terkenal kerana ianya kaya dengan rempah ratus seperti cili, cengkih, kayu manis, jintan putih dan sebagainya. Pelbagai jenis roti yang diperbuat daripada tepung gandum seperti thosai, chapati, naan, roti cana dan idli. Hidangan daun pisang pasti akan menarik selera ramai orang kerana makanannya dihidangkan di atas daun pisang menggantikan pinggan biasa. Ia memberikan satu pengalaman baru kepada mereka yang ingin mencubanya untuk pertama kali. Masyarakat India-Muslim terkenal dengan Nasi Briyani dan Mee Goreng. Hidangan lain termasuk kurma, ayam tandoori dan kari kepala ikan.

Makanan Melayu

Makanan Melayu memang terkenal dengan pedas, yang menggunakan pelbagai kandungan dari bahan-bahan semulajadi seperti cili, serai, halia, santan kelapa dan sebagainya. Masakan tradisional Melayu di Melaka adalah sambal yang diperbuat daripada cili, perisa udang dan perasa lain. Masakan yang paling popular bagi orang Melayu adalah nasi lemak iaitu sajian untuk sarapan pagi. Nasi Lemak dimasak dengan menggunakan ayam atau daging, kacang tanah, telur rebus dan sambal. Masakan lain yang popular adalah seperti asam pedas (ikan dan sayuran dimasak didalam kuah asam pedas), rendang, nasi padang dan nasi goreng.

Sunday, March 18, 2007

MAKANAN POPULAR NEGERI MELAKA

Asam pedas
Asam Pedas memang terkenal di Melaka dan Johor. Sebut sahaja asam pedas semua orang tahu bahawa masakan itu sangat sedap dan popular di Negeri Melaka dan Johor. Resepi untuk membuatnya tidaklah terlalu rumit dan tidak pula terlalu mudah.Walau bagaimanapun terdapat juga kawasan-kawasan lain di negeri Melaka dan Johor ini mempunyai resepi asam pedas yang berlainan. Terpulang kepada citarasa masing-masing untuk menyedapkan lagi masakan mereka.
Kebiasaannya bahan-bahan yang mesti ada ialah terdiri daripada
ikan (kebiasaannya ikan parang,ikan tenggiri, ikan merah dan ikan terubuk), cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan, halia, lengkuas, kunyit hidup (jika ingin menyedapkan lagi masakan), serai, daun kesum, bunga kantan, asam jawa, asam gelugur atau daun limau purut. Bahan-bahan ini hendaklah mengikut sukatan masakan.

Cara untuk membuatnya cili kering, bawang merah dan putih, halia dan belacan dikisar atau ditumbuk lumat. Serai dan lengkuas diketuk dan bunga kantan dibelah empat. Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar dan lengkuas tadi kedalam periuk sehingga naik baunya dan garing. Jangan pula hangus. Selepas itu masukkan air asam jawa mengikut banyak atau sedikit sukatan masakan. Ikan yang telah dibersihkan dimasukkan sehingga mendidih. Akhir sekali masukkan serai, daun kesum, bunga kantan, asam gelugur atau daun limau purut.
Kebiasaan masakan asam pedas bukan sahaja di hidangkan untuk keluarga di rumah malah masakan ini juga terdapat di kedai-kedai makan, restoran, juga di hotel-hotel yang terkemuka di negeri Melaka dan Johor. Ia bukan saja terkenal dan di sukai oleh penduduk negeri Melaka dan Johor sahaja bahkan pelancong dari dalam dan luar negara juga meminati masakan asam pedas ini.

Cencaluk
Cencaluk yang berkhasiat tinggi.

Cencaluk ialah sejenis lauk dalam hidangan tradisional Melaka. Oleh sebab ia dibuat daripada udang halus yang lebih dikenali sebagai udang geragau, cencaluk mengandungi kandungan protein yang tinggi.
Kebiasaannya, udang geragau ini sukar didapati. Di negeri Melaka, udang ini boleh didapati pada musim tertentu di Pantai Klebang, Limbongan, Tanjung Kling dan beberapa kawasan pesisiran pantai yang lain.
Melaka bukan sahaja terkenal dengan kesan peninggalan sejarahnya yang menarik lagi unik, malah tidak ketinggalan juga dari segi makanannya yang amat lazat lagi menyelerakan. Apabila kita menyebut mengenai makanan yang terdapat di Melaka, pasti kita akan teringatkan cencaluk.


Mengikut kepercayaan lama yang telah menjadi kata-kata senda gurau pula, kononnya jika pada hari perkahwinan seseorang itu, hujan turun sepanjang hari, maka dikatakan bahawa mempelai suka makan cencaluk. Namun itu semua hanyalah cerita lama.
Makanan ini yang suatu ketika dulu dipelopori oleh masyarakat Melayu di Melaka kini lebih digemari oleh semua lapisan masyarakat, bukan sahaja di tempat asalnya, malahan sudah melangkaui sempadan Malaysia. Ia juga menjadi satu keperluan atau lauk semasa menikmati hidangan nasi dan ada juga yang menjadikan petai atau jering sebagai ulam semasa memakan cencaluk.

Kini, perusahaan membuat cencaluk semakin mendapat tempat di kalangan penduduk di beberapa kawasan di negeri Melaka. Kerajaan negeri sendiri sudah menetapkan kawasan Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Udang sebagai kawasan mengeluarkan cencaluk di dalam rancangan 'Satu DUN Satu Produk'.

Selain itu, cencaluk juga kini mudah diperolehi menerusi penjualan yang terbuka seperti di tepi jalan raya serta di pasar-pasar sekitar negeri ini. Bagi mereka yang melalui pesisiran kawasan Tanjung Kling ke Sungai Udang, pasti akan dapat melihat deretan gerai yang menjual cencaluk dan juga belacan.

Proses membuat cencaluk

Proses pembuatan cencaluk memerlukan beberapa kaedah untuk membuatnya dan ia perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan mutu serta kualiti cencaluk itu sedap dirasa apabila dimakan.
Udang geragau yang segar, iaitu tanpa direndam dengan air, akan dicampurkan dengan garam, dan sedikit nasi, iaitu sama seperti bahan- bahan untuk membuat belacan. Setelah ketiga-tiga bahan sudah menjadi sebati, ia seterusnya akan dimasukkan ke dalam sebuah bekas, iaitu pasu, guri atau tempayan kecil. Pasu dan tempayan kecil itu kemudiannya ditutup dengan kain bersih untuk diperam selama tiga hari. Ada juga pembuat cencaluk yang menambahkan sedikit air didih nasi bagi menambah kesedapan cencaluk.
Apabila cencaluk sudah diperam dan sesuai untuk dimakan, ia boleh disedapkan lagi sewaktu dimakan sebagai lauk dengan nasi melalui dua cara:
cencaluk dicampur dengan lada basah dan bawang besar yang dihiris. Kemudian ia akan dicampur dengan perahan limau nipis atau limau kasturi; ataupun
cencaluk dicampurkan dengan sedikit lada basah dan sehiris dua halia, kemudian digoreng dengan telur.
Belacan
Gambar belacan yang siap dibungkus untuk dipasarkan.
Belacan merupakan sejenis bahan masakan yang diperbuat daripada udang kara yang dimampatkan dan tahan lama. Ia mempunyai bau yang kuat tetapi sedap dan berkhasiat dimakan. Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya. Maupun begitu, sekiranya dibakar, belacan mengeluarkan bau yang sungguh kuat. Malah orang putih pernah menggelarkannya sebagai bau daging anjing panggang.
Belacan juga merupakan salah satu bahan bagi menghasilkan sambal belacan, iaitu cili dan belacan yang ditumbuk lumat dengan menggunakan lesung tangan.

Dodol










Dodol adalah sejenis makanan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan yang manis (atau manisan/penganan). Dodol sangat terkenal di Melaka. Membuat dodol boleh dikatakan amat rumit. Ramai orang selalu mencuba untuk membuatnya. Tetapi tidak semua yang akan menghasilkan dodol yang bermutu tinggi. Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada mereka yang telah berusia. Jarang sekali generasi muda mahir membuat dodol. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, gula pasir, gula melaka dan garam.

Resepi

Bahan-bahan
1.8 kg tepung pulut
300 gm tepung beras
3.6 kg gula melaka 12 biji kelapa parut
15 helai daun pandan

Cara penyediaan
Bancuh tepung beras dan tepung pulut dengan santan. Setelah itu tapis ke dalam kuali besi. Masak gula melaka dengan sedikit air dan daun pandan. Bila telah larut masukkan ke dalam adunan tepung tadi. Dengan menggunakan api yang perlahan jerangkan adunan ini sambil dikacau dan apabila setengah masak, masukkan pati santan dan terus kacau sehingga masak.
Untuk membuatnya, bahan-bahan tersebut hendaklah dicampurkan bersama di dalam kuali yang besar atau dikenali sebagai kawah dan dimasak dengan api yang sederhana besar. Dodol yang dimasak tidak boleh dibiarkan kerana jika dibiarkan, dodol akan hangus atau hangit di bahagian bawahnya/kerak. Oleh itu, dodol hendaklah sentiasa dikacau bergilir-gilir untuk mendapatkan hasil yang baik. Dodol yang dimasak memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang 4 jam kerana sekiranya kurang dari 4 jam, dodol yang dimasak tidak sedap dimakan. Setelah 2 jam dodol tadi dimasak, dodol akan bertukar kepada warna coklat yang pekat sedikit. Dodol tersebut akan mendidih dan mengeluarkan gelembung-gelembung udara yang banyak.
Seterusnya, dodol hendaklah dikacau supaya gelembung dodol tersebut tidak terkeluar dari kawah sehinggalah dodol tersebut masak dan diangkat. Akhir sekali, dodol tersebut hendaklah disejukkan di dalam periuk yang besar. Untuk mendapatkan hasil yang baik dan rasa yang sedap, dodol mestilah berwarna coklat tua, berkilat dan pekat.
Selepas itu, dodol tersebut bolehlah dipotong dan dimakan. Kebiasaannya dodol akan dihidang kepada tetamu pada hari-hari tertentu seperti hari-hari perayaan dan majlis kenduri.

Diperolehi daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Dodol"
Tapai


Tapai ialah sejenis penganan yang dibuat daripada pulut. Terdapat 2 jenis tapai iaitu tapai ubi dan tapai pulut. Biasanya tapai pulut lebih popular jika dibandingkan dengan tapai ubi. Tapai pulut rasanya lebih sedap kerana itulah tapai ubi tidak dapat menandingi tapai pulut.
Bahan-bahan untuk membuat tapai tidaklah terlalu rumit. Tapai pulut memerlukan bahan seperti
pulut, ragi dan sedikit gula. Ketiga-tiga bahan ini hendaklah dicampurkan sehingga sebati.
Kemudiannya akan dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun yang disebut sebagai daun tapai. Tetapi pada zaman ini, daun tapai semakin sukar didapati dan kebanyakan tapai dibungkus dengan menggunakan daun pisang. Terdapat sedikit perbezaan rasa antara tapai yang dibungkus dengan daun tapai dan tapai yang dibungkus dengan daun pisang.

Tapai yang telah siap dibungkus dimasukkan ke dalam pasu tempayan yang besar dan ditutup dengan kain. Setelah diperam dan disimpan selama 3 hari, tapai itu akan masak dan barulah boleh dimakan. Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.

Orang tua zaman dahulu juga mempunyai pantang larang apabila hendak membuat tapai. Apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah. Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap. Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam.
Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama, masanya adalah lebih kurang dalam 2 hari sahaja dan kerana rasanya yang terlalu manis biasanya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut, dan sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan tapai, tapai itu boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais


Diperolehi daripada "
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tapai"